Rabu, 20 Disember 2017

KESAN SYIRIK DAN KHURAFAT DALAM FILEM YANG MEMPENGARUHI AKIDAH UMAT ISLAM


PENDAHULUAN

Pada masa kini, kita telah dihidangkan dengan pelbagai bentuk hiburan sama ada dalam bentuk audio, visual, penyiaran dan filem-filem. Namun, penyiaran dan hiburan seperti ini akan menyebabkan kelalaian kepada masyarakat kerana kebanyakan filem-filem atau hiburan yang ditayangkan tidak memberi pengajaran yang khusus kepada penonton dan masyarakat. Pada masa kini, industri hiburan tanah air dan negara luar juga semakin hari semakin berkembang luas dengan penghasilan pelbagai filem dan audio, tidak kiralah sama ada berunsur seram, romantik, komedi dan sebagainya.
Berbincang mengenai hiburan ini, isu yang perlu diambil berat dan diketengahkan adalah isu unsur-unsur khurafat dan syirik kepada Allah yang dihasilkan dan disiarkan di dalam filem-filem yang telah diterbitkan boleh merosakkan akidah penonton dan umat Islam terutamanya masyarakat yang kurang mempunyai pengetahuan yang lebih mendalam tentang Islam. Antara filem-filem yang mendapat sokongan di kalangan masyarakat adalah filem-filem yang berunsur seram. Keadaan ini dapat dibuktikan apabila setiap kali tayangan filem yang berunsur seram ditayangkan di pawagam-pawagam, kutipan jualan tiket mendapat sambutan yang tinggi berbanding filem-filem lain yang berbentuk kerohanian, ketuhanan dan sebagainya. Situasi begini telah menyebabkan penggiat dan pengarah filem sendiri ingin menghasilkan lebih banyak filem yang berunsur seram untuk mengaut keuntungan yang besar.
Oleh itu, penggiat seni dan pengarah-pengarah filem perlu lebih berhati-hati dalam menghasilkan sesebuah filem agar tidak melanggar batas-batas syariat Islam. Penulis skrip juga perlu berhati-hati dalam menghasilkan skrip supaya tidak terpesong dari ajaran Islam. Penonton juga tidak perlu terlalu ta’sub  terhadap filem yang ditayangkan sedangkan filem tersebut hanya rekaan semata-mata. Filem-filem yang berunsur kerohanian kurang mendapat sambutan oleh penonton dan masyarakat berbanding filem yang berunsur seram dan negatif, kerana fitrah manusia yang lebih cenderung kepada perkara negatif berbanding perkara-perkara positif.

PENGERTIAN SYIRIK DAN JENIS SYIRIK


Takrif Syirik ialah menyekutukan Allah dengan sesuatu pada zat, sifat dan af’alnya (perbuatannya).  syirik juga bermaksud mempersekutukan Allah SWT, meyakini dan mempercayai kepada sesuatu makhluk bahawa ia berkuasa untuk memberi manfaat dan mudarat terhadap sesuatu perkara. Syirik adalah suatu perkara yang perlu dielakkan kerana kepercayaan ini boleh merosakkan  akidah umat Islam seperti melakukan pemujaan, berjumpa pawang atau bomoh untuk menilik nasib dan meminta pertolongan dari tempat-tempat yang dipercayai mempunyai penunggu dan sebagainya. Hal ini akan menjadi lebih teruk sekiranya perkara syirik ini ditayangkan di dalam filem-filem seram dan terdapat masyarakat khasnya umat Islam yang mempercayai perkara-perkara syirik tersebut disebabkan kurangnya didikan agama dan ilmu pengetahuan tentang Islam dan mereka mengamalkannya perbuatan syirik tersebut. Perbuatan syirik boleh dilakukan melalui tiga cara iaitu cara yang pertama adalah dengan melalui perbuatan manusia sendiri contohnya memuja kubur, menyembah berhala dan

 sebagainya. Cara yang ke dua, adalah melalui perkataan dan percakapan manusia tersebut sebagai 

contoh mengatakan nabi Isa A.S adalah anak Allah. Dan cara yang ketiga adalah, melalui 

kepercayaan contohnya mempercayai bahawa tangkal boleh menghalang daripada terkena penyakit, 

mempercayai bintang dua belas menentukan nasib dan sebagainya. 

Jenis syirik boleh terbahagi kepada dua iaitu syirik jali dan syirik khafi, syirik jali adalah syirik yang

 terbesar kerana syirik jali adalah syirik yang dilakukan secara terang-terangan oleh manusia 

contohnya seperti menyembah patung berhala, menyembah bulan atau matahari, mengakui Nabi Isa

 sebagai anak tuhan dan sebagainya. 


Syirik khafi pula adalah syirik yang tidak membatalkan iman, ia adalah syirik yang dilakukan secara bersembunyi dan tidak diketahui oleh orang lain kecuali diri kita sendiri. Syirik khafi terbahagi kepada lima jenis, antaranya ialah riak iaitu menunjuk-nunjuk kehebatan diri contohnya kekayaan, kepandaian dan sebagainya. Seterusnya, ujub iaitu mengagumi diri sendiri contohnya terlalu mahir terhadap sesuatu perkara dan merasa diri terlalu hebat. Selain itu, takbur juga adalah salah satu syirik khafi, contohnya bangga diri terhadap sesuatu perkara yang telah dilakukan dan sum’ ah iaitu melakukan sesuatu perkara dengan niat untuk dipuji oleh orang ramai.

TAKRIF KHURAFAT DAN CONTOH KHURAFAT

khurafat adalah kepercayaan dan perbuatan karut yang dianggap mempunyai hubungan dengan

agama Islam, sedangkan pada hakikatnya ia bertentangan dengan konsep tauhid dan syariat Islam.

khurafat menurut definisi yang dipakai oleh JAKIM ialah cerita-cerita yang mempesonakan dan 

dicampuradukkan dengan perkara dusta, khayalan, ajaran-ajaran, pantang-larang, adat istiadat,

 ramalan pemujaan atau kepercayaan yang bertentangan dengan ajaran Islam.


Contoh-contoh khurafat yang masih diamalkan oleh masyarakat Melayu pada masa kini dan sering

 dilakonkan di filem-filem berunsur seram ialah menganggap seseorang sial atau membawa 

malapetaka kepada seseorang atau masyarakat terhadap kehadirannya, dan amalan membuang sial

 seperti tepung tawar, lenggang perut, mandi bunga dan mandi Safar.

Selain itu, antara contoh khurafat yang masih diamalkan ialah bercakap dengan percakapan yang 

tidak ada asal usul daripada agama Islam seperti “ tabik tok nenek” ketika melalui sesuatu tempat 

atau “minta simpang Malaikat 44” ketika mengharapnya sesuatu tidak mengenainya, adat meninggal

 dunia selepas kematian, ketika seseorang meninggal dunia bomoh akan meletakkan gunting di atas

 badan mayat. Semasa hendak menghantar mayat ke kubur, diadakan kenduri masuk kubur, selepas 7 

hari kematian, diadakan pula kenduri pecah perut, selepas 14 hari diadakan pula kenduri makan

 serabai. Kenduri 40 hari sebagai tanda roh berpisah dari waris dan kenduri 100 hari sebagai kenduri 

turun batu nisan dan roh si mati telah masuk ke dalam kumpulannya di dalam kubur dan

 contoh-contoh khurafat yang lain yang sering dilihat secara realiti atau di dalam filem.


HUKUM MENONTON HIBURAN ATAU FILEM  YANG MEMPUNYAI UNSUR SYIRIK DAN KHURAFAT


Hiburan yang harus  ialah, hiburan yang tidak ditegah dalam Islam contohnya, bersukan, mendengar 

lagu, melihat filem dan lain-lain, selagi dibenarkan oleh syarak dan tiada unsur-unsur yang 

mengharamkannya. Contohnya, melihat filem-filem seram dan mempunyai unsur-unsur syirik dan 

khurafat, dan terpengaruh dengan perbuatan tersebut. Maka hukum hiburan yang harus tadi telah 

jatuh haram dan berdosa besar kerana terpengaruh untuk melakukan perkara yang khurafat dan

 syirik. Maka, sekiranya hiburan atau filem yang mempunyai unsur yang ditegah oleh syarak, haram

 hukumnya untuk dijadikan sebagai hiburan. Tetapi terdapat persoalan, mengapa tidak boleh melihat 

filem yang mempunyai unsur syirik dan khurafat, sedangkan tidak berniat pun untuk 

mengamalkannya dan yakin tidak akan terpengaruh dengan dua unsur tersebut.


Nabi SAW bersabda:
عَنْ أَبي سعيدٍ الخُدريِّ رَضِي اللهُ عَنْهُ قالَ: سَمِعتُ رسولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يقولُ: ((مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ , فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ , وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإيمَانِ)). رواه مسلِمٌ.
“Barang siapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu, maka dengan lisannya, dan sekiranya dia tidak mampu (juga), maka dengan hatinya. Yang demikian itu adalah selemah-lemah keimanan.” (Riwayat Imam Muslim dalam Sahihnya dari hadis Abu Said R.A).
Setiap filem atau hiburan yang mempunyai unsur syirik, khurafat dan unsur lain yang haram adalah diharamkan untuk dilihat. Seterusnya, lagu yang teradat unsur haram contohnya unsur seks, mengagungkan wanita, dan ada juga lagu atau hiburan yang terdapat unsur syirik dan mengutuk Islam, maka haram untuk didengar dan dilihat kerana bimbang akan menyebabkan seseorang menjadi terlalu taksub dan terpengaruh dengan perkara-perkara yang tidak baik, di samping iman menjadi lemah dan berdosa besar kerana mensyirikkan Allah SWT.

KESAN-KESAN FILEM YANG MEMPUNYAI UNSUR SYIRIK DAN KHURAFAT TERHADAP AKIDAH UMAT ISLAM



Antara kesan-kesan filem berunsur syirik dan khurafat terhadap akidah umat Islam ialah bentuk 

khurafat dan sihir yang ditayangkan di dalam filem seperti pemujaan benda ghaib, pemujaan kubur 

atau bacaan mantera yang tidak difahami maksudnya merupakan adaptasi perbuatan syirik oleh 

penonton. Penonton yang melihat filem tersebut, sedikit sebanyak akan meniru perbuatan tersebut 

sekiranya penonton tersebut tidak mempunyai ilmu yang mendalam tentang agama Islam.

 Seterusnya, bukannya semua masyarakat di Malaysia mengamalkan dan memahami konsep tauhid

 yang sebenar-benarnya, hanya segelintir sahaja yang mengamalkan konsep tauhid yang sebetulnya, 

media pula seperti filem seringkali menyiarkan kepada masyarakat bahawa makhluk-makhluk halus 

ini mempunyai kuasa yang kuat, seolah-olah menidakkan kuasa Allah taala yang Maha Besar. 

Terdapat masyarakat yang mempercayai tentang kehebatan dan kuasa makhluk tersebut, dan pergi 

menemui bomoh atau dukun apabila ditimpa satu musibah kerana kurang pendidikan agama yang 

mendalam.

Oleh itu, filem yang mempunyai unsur syirik dan khurafat boleh merosakkan akidah umat Islam, 

memesongkan akidah seseorang dari ajaran Islam, melemahkan iman seseorang dan menimbulkan 

unsur-unsur syirik dan khurafat dalam diri penonton kerana telah terpengaruh dengan filem tersebut.


CARA MENGATASI AMALAN SYIRIK DAN KHURAFAT YANG MEMPENGARUHI PENONTON


Antara cara untuk mengatasi amalan syirik dan khurafat di dalam filem ialah mengadakan 

kempen-kempen tentang bahayanya amalan syirik dan khurafat pada akidah umat Islam, supaya dapat

 memberi kesedaran atau pengetahuan yang lebih mendalam tentang bahayanya amalan syirik dan 

khurafat. 

Selain itu, pihak kerajaan mestilah meletakkan topik “ bahana amalan syirik dan khurafat” pada

 setiap bahan bacaan seperti buku-buku ilmiah, surat khabar dan sebagainya untuk proses 

pembelajaran supaya anak-anak muda sedar tentang bahayanya amalan syirik dan khurafat kerana 

golongan remaja adalah golongan yang mudah terpengaruh dengan amalan-amalan negatif. 

seterusnya, Kerajaan juga mestilah mengadakan kuliah atau penerangan yang lengkap tentang ajaran 

Islam yang sebenar secara lebih mendalam, supaya masyarakat mengetahui tentang ajaran Islam 

secara lebih mendalam supaya dapat membezakan antara yang betul atau salah.


Bagi peranan masyarakat pula, seperti mana yang kita tahu, masyarakat melayu terkenal dengan adat-adat resam dan kepercayaan sejak dari dulu lagi. Tetapi, adat dan kepercayaan tersebut harus dikaji dahulu kerana bimbang adat dan kepercayaan tersebut adalah perbuatan syirik dan khurafat. Sekiranya adat dan kepercayaan masyarakat Melayu adalah perbuatan syirik dan khurafat, tinggalkanlah dan hapuskan adat tersebut kerana ia boleh menyebabkan seseorang menjadi musyrik.

KESIMPULAN 


Berdasarkan penerangan yang serba ringkas ini,dapatlah disimpulkan bahawa tindakan media

 mempopularisasikan alam mistik telah melanggar batasan yang telah ditetapkan oleh syarak secara

khususnya dan menyalahi undang-undang penyiaran secara amnya.Perkara ini jelas memberi kesan negatif kepada masyarakat.Masyarakat muslim yang sepatutnya dididik dengan mengagungkan keesaan Allah akan bercabang pemusatan akidah tanpa sedar.Oleh yang demikian,pihak berkuasa seharusnya memandang serius kesalahan ini dan mengambil tindakan secara drastik.
Kita sebagai orang muslim, janganlah sesekali mensyirikkan Allah. Kita juga jangalah melakukan perbuatan khurafat kerana akan menyebabkan kemurkaan Allah. Kita juga perlu mencegah perbuatan syirik dan khurafat jika berlaku di hadapan kita. Jika kita tidak mampu mencegah, kita mampu membenci dengan, sesungguhnya ia selemah-lemah iman.



ditulis oleh Nurul Syahida binti Jumali

Tiada ulasan:

Catat Ulasan